Mujahadah


Mujahadah adalah memaksa diri meninggalkan perkara-perkara yang boleh merosakkan jiwa

Wednesday, May 5, 2010

Ihsan, Iman & Islam


Ku menyorot kembali kuliah subuh di pagi Ahad lepas. Ustaz mengupas tentang Ehsan, Iman & Islam. Sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat Islam awam khususnya masyarakat Melayu mengamalkan sesuatu ibadah, baik yang wajib ataupun ibadah yang sunat hanya semata-mata untuk mendapatkan ganjaran pahala yang banyak lagi berlipat-kali ganda sebagai syarat untuk masuk ke syurga. Inilah matlamat kebanyakkan orang-orang awam yang mengerjakan sekelian banyak ibadah bertujuan untuk mengumpul-ngumpul pahala. Bagi mereka, hanya ukuran jumlah pahala yang banyaklah yang akan memberati neraca Mizan lantas kerana itu layaklah bagi mereka untuk memasuki syurga.

Tapi sayangnya, segala akhlak baik yang mereka tonjolkan dan segala ibadah wajib dan ibadah sunat yang mereka dirikan adalah berpunca dari kemahuan semata-mata untuk mengumpul jumlah pahala yang banyak kerana pada mereka kayu pengukur bagi seseorang itu sebagai layak memasuki syurga adalah dengan jumlah pengumpulan pahala yang banyak yang dapat dikumpulkan didunia ini.

Apakah mereka lupa pada firman-firman Allah swt yang sering mereka baca pagi dan petang? Tidakkah mereka pernah menemui firman Allah swt pada surah az-Zukhruf ayat yang ke 32 yang bermaksud, ‘dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan’. Untuk firman Allah swt ini, Rasulullah saw pernah menghuraikannya dalam suatu hadis yang bermaksud, ‘dari Jabir ra katanya, dia mendengar Nabi saw bersabda, Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi semata-mata rahmat Allah swt belaka [Sahih Muslim]’.

Bagi sesiapa yang ingin mencari rahmat Allah swt, disana telah disediakan oleh Allah swt jalan-jalannya iaitu sebagaimana firmanNya dalam surah Ali Imran pada ayat 132 yang bermaksud, ‘taatilah Allah dan Rasul supaya kamu diberi rahmat’. Untuk mendapat rahmat Allah swt, mentaati Allah swt melulu dengan memisahkan ketaatan kepada Rasul adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal kerana hanya melalui Rasul sahajalah seseorang itu akan dapat mengenal Allah, maka oleh sebab itulah kunci untuk mentaati Allah swt sebenarnya adalah pada mentaati Rasul, sebagaimana firman Allah swt dalam surah Ali ‘Imran ayat 31 yang bermaksud, ‘katakanlah, jika kamu mencintai Allah ikutilah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosamu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang’.

Yang dinamakan syariat zahir ialah sekelian pekerjaan ibadah yang dapat disaksikan oleh penglihatan dan pendengaran zahiriyah bersesuai dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dengan tingkah laku dan ucapan baginda samada yang wajib hukumnya ataupun yang sunat lantas diikuti oleh para sahabat yang selepas itu menjadi panduan bagi kita untuk melaksanakannya yang mana menzahirkannya dikenali sebagai Islam, manakala yang dinamakan syariat batin pula ialah sekelian pekerjaan yang tidak dapat disaksikan dengan penglihatan dan pendengaran zahiriyah bersesuai dengan keadaannya yang tersembunyi didalam hati yang dikenali sebagai Iman dan Ihsan kerana ianya adalah bangsa iktiqad, maka tiada siapa yang dapat mengetahui hal keadaan hati seseorang itu melainkan Allah swt. Maka, Ihsan dan Iman itu sepatutnya dihimpun menjadi esa dan menyatu dalam hati kita sebagai iktiqad yang jazam sehingga Islam dapat dizahirkan dengan sempurna.

Syariat yang zahir itu rata-ratanya seluruh umat Islam pun tahu caranya iaitu mengucap kalimah syahadata’in, mendirikan solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji ke Baitullah di Mekah, kemudian mendirikan hukum-hukum Taklifi yang lima iaitu mengetahui pekerjaan mana yang wajib, mana yang haram, mana yang sunat, mana yang makhruh dan mana yang harus berserta menuruti peraturan rukun-rukun, syarat sah dan perkara yang membatalkan setiap ibadah.
Adapun syariat yang batin itu ada dua cabang iaitu Iman dan Ihsan.
Oleh kerana pada zaman sekarang, Iman dan Ihsan telah diajar secara berasingan (akibat sistem sekular) maka disini Iman diistilahkan sebagai syariat batin yang bersifat umum manakala Ihsan pula diistilahkan sebagai syariat batin yang bersifat khusus. Umumnya Iman kerana ianya adalah iktiqad yang lahir dari bangsa pengetahuan (Ushuludin) manakala khususnya Ihsan kerana ianya iktiqad yang lahir dari bangsa pengamalan yang terbit setelah ma’rifatullah (Tasawuf).
Kemudian, syariat batin yang bersifat umum yakni Iman, rata-ratanya semua umat Islam pun sudah maklumi rukunnya iaitu percaya kepada Allah, percaya kepada malaikat, percaya kepada kitab, percaya kepada rasul, percaya kepada hari kiamat dan percaya kepada qada dan qadar. Duduk letak untuk mempelajari keenam-enam rukun Iman ini adalah dalam pembelajaran ilmu Usuludin yang terkandung didalamnya 68 akoidul iman yang wajib diimani.

Seterusnya, syariat batin yang bersifat khusus yakni Ihsan. Amat sedikit sahaja umat Islam yang tahu mengenainya dizaman ini, malah telah menjadi amat asing dari pengetahuan umum sehinggakan apabila ada yang cuba menjelaskan furuk-furuk dan juzuk-juzuknya, terus sahaja akan dicap sebagai sesat. Duduk letak untuk menguasai perkara Ihsan ini adalah dalam pembelajaran Tasawuf

Adapun mempelajari dan mendirikan Ihsan ini adalah sama wajibnya dengan mendirikan Islam dan Iman kerana ketiga-tiganya ini adalah termaktub sebagai Rukun Agama dan sekiranya diabaikan Ihsan darinya maka kesempurnaan agama itu tidak akan dapat dicapai. Satu hadis daripada Rasulullah saw tentang peri wajibnya mendirikan Ihsan yang bermaksud, ‘sesungguhnya Allah telah mewajibkan Ihsan atas segala sesuatu pekerjaan.. [Sahih Muslim]’ dan maksud Ihsan itu sebagaimana yang disabda oleh baginda Rasulullah saw ialah, ‘Ihsan itu ialah, menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, walaupun kamu tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihatmu [Sahih Muslim]’.

Selanjutnya, mari kita bertanya kepada para ‘pengumpul-pengumpul pahala’ tentang Ihsan, dapatkah mereka melihat Allah dalam setiap pekerjaan ibadah yang mereka laksanakan? Jika dapat, bagaimanakah cara mereka melakukannya sedangkan cara atau jalannya tidak pernah mereka pelajari? Dari sinilah bermulanya titik-tolak atas apa yang dimaksudkan bahawa mereka dalam keadaan rugi kerana pahala-pahala yang mereka telah timbunkan itu, sekali-kali tidak akan mendatangkan manfaat atas mereka kerana didunia ini mereka mengabaikan Ihsan.
Ketahuilah, sesempurna mana pun solat seseorang itu walau begitu takzim ia mengikuti segala perlakuan rukun-rukunnya dan mengambil perhatian terhadap sekelian syarat sah dan betapa merdu pun suaranya dengan kebagusan bertarannum, tempatnya kelak akan tetap didalam neraka oleh kerana pengabaian yang ia lakukan terhadap Ihsan, ‘maka celakalah orang-orang yang solat (yakni) orang-orang yang solat dalam keadaan lalai [al-Maun:4,5]’. Lalai dalam maksud ayat diatas ialah meninggalkan Ihsan yakni gagal memandang Allah dengan sebulat penumpuan semasa mendirikan solat malah mereka masih lagi mengingati urusan-urusan dunia dalam solat.

2 comments:

Datin El said...

salam fuzidss
semuga sihat sejahtera sentiasa dan diberkati Allah selalu hendaknya

fuzidss said...

Aminnnnnn... Terima kasih