Mujahadah


Mujahadah adalah memaksa diri meninggalkan perkara-perkara yang boleh merosakkan jiwa

Tuesday, October 27, 2020

Pemantapan Keyakinan, akidah lahir kesempurnaan Iman


Nama pena saya sekarang perlu ditukar dan adalah lebih sesuai iaitu MisDss. Agak lama juga saya meninggalkan dunia penulisan memandangkan saya sibuk menguruskan anak-anak. Serinking kali kita terdengar ramai melontarkan kata-kata nasihat "Yakinlah pada Allah,  tingkat keyakinan pada  Allah". Mudahnya melemparkan kata-kata itu namun sesungguhnya kita sudahkah mengenal erti YAKIN kepadanya sedalam-dalamnya.

Ulama tasawuf membahagikan yakin kepada tiga peringkat, iaitu ilmu yakin, ainul yakin dan haqqul yakin.Ilmu yakin dipetik dari firman Allah SWT: "Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin (ilmu yakin)." (Al-Takathur: 5)

Ia berlaku apabila yakin baru bertapak di kotak fikiran. Contohnya, seseorang masuk ke hutan, sudah tentu terfikir ada binatang liar seperti harimau dan ular. Begitulah hal seseorang beribadat dan beriman hanya dengan menggunakan kaedah akal fikiran dan ilmu zahir sahaja. Penetapan akan adanya Allah SWT hanya dilakukan dengan perbahasan ilmu yang belum bertapak kukuh dalam hati.

Ainul Yakin pula difahami melalui firman Allah SWT: "Selepas itu - demi sesungguhnya - Kamu (wahai orang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yakin (ainul yakin) (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)." (al-Takathur: 7)

Penglihatannya lebih jelas daripada ilmu yakin. Contohnya, seseorang masuk ke hutan menemui bekas tapak kaki harimau, sudah tentu secara rasionalnya ada harimau melalui kawasan itu, sekali gus membuatkan hatinya takut. Sama hal seseorang beribadat dengan hati yakin dan nampak kebesaran Allah SWT dengan mata hati. Ibadat orang sebegini amat kemas dan adab serta akhlaknya halus, manakala tauhid kukuh di lubuk hatinya. Hatinya tidak mudah goyah dan sentiasa memohon perlindungan Tuhan.

Haqqul yakin difahami firman Allah SWT: "Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah kebenaran diyakini (haqqul yakin/ dengan seyakin-yakinnya)." (Al-Haqqah: 51).

Seperti hal bekas tapak kaki harimau dilihatnya tadi secara ainul yakin, kini haiwan itu dilihat berada di hadapannya dengan penglihatan mata kasarnya. Sudah pastinya, ia akan menambahkan ketakutan individu berkenaan. Begitulah keadaannya Muslim beribadat dan beriman kepada Allah SWT, melihat dengan mata hatinya akan kebesaran Allah SWT.

Keadaan inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda ditanya mengenai hakikat ihsan, iaitu 'kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya; jika kamu tidak melihat-Nya sekalipun, maka ingatlah sesungguhnya Allah melihat kamu.'

Dalam tahap ini, barulah Muslim dapat mencapai haqqul yakin, iaitu berasakan kehadiran Allah SWT dalam amalan, perilaku dan tindakannya setiap detik. Dia juga akan merasai kemanisan iman tiada tolok bandingnya dan menikmati kebahagiaan abadi dunia dan akhirat.

Oleh itu, setiap Muslim wajib memantapkan keyakinannya kepada Allah SWT yang menjadi jalan menuju kesempurnaan iman hakiki. Sheikh Ahmad Ibnu Ashim al-Antaki pernah berkata: "Sesungguhnya paling sedikit yakin apabila sudah sampai ke lubuk hati, maka hatinya akan penuh dengan cahaya, keraguan akan hilang, jiwanya penuh dengan rasa kesyukuran dan rasa takut kepada Allah akan bertambah."

Penulis adalah Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

No comments: