Mujahadah


Mujahadah adalah memaksa diri meninggalkan perkara-perkara yang boleh merosakkan jiwa

Wednesday, February 22, 2017

Permohonan Surat Kuasa di Jabatan Harta Pusaka Kecil

Abah...Aysh datang .rindu abah

PERMOHONAN HARTA PUSAKA KECIL & TANGGUNGJAWAB WARIS

Selama hampir 3 bulan saya berusaha untuk menyempurnakan dokumen yang perlu dilampirkan untuk permohonan surat kuasa di di Jabatan Harta Pusaka kecil. Memang sangat memelukan kesabaran dalam menguruskan segalanya. Pada peringkat permulaan saya mulakan dengan usaha untuk menutup akaun Allahyarham dan meneliti segala polisi yang dicarum olehnya.

Saya perlu lakukan segera kerana kebanyak akaun Allahyarham tiada penama dan Kelewatan memohon untuk mendapatkan Surat Kuasa tersebut akan menambahkan lagi kerumitan untuk untuk menuntut hak Allahyarham. Kelewatan menyelesaikan pembahagian harta pusaka setelah berlaku kematian pemilik harta (simati) adalah satu fenomena biasa yang berlaku dalam masyarakat kita.

Banyak kes-kes yang tidak diberi perhatian sewajarnya oleh para waris dan tidak diselesaikan segera
walaupun kematian itu telah berlaku beberapa tahun tetapi masih tiada usaha untuk menguruskan harta si mati. Perlu diingat bahawa setiap yang hidup perlulah memastikan harta anak-anak yatim dapat di uruskan dengan baik.

Anggota masyarakat kita nampaknya memandang remeh tentangpenyelesaian dan pembahagian harta pusaka ini. Mereka seolah-olah tidak menyedari bahawa penangguhan dalam pembahagian itu sebenarnya mengundang risiko yang sangat besar dari segi hukum dan undang undang.
2 kali turun naik ke Jabatan Tanah & Galian

Pentadbiran Harta Pusaka Di Malaysia

Terdapat 3 undang-undang yang menetapkan cara dan peraturanpentadbiran harta pusaka di Malaysia:
· Akta Probate dan Pentadbiran 1959 (Akta No. 97)
· Akta (Pembahagian) Harta Pusaka Kecil 1955 (Akta No. 98)
· Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995 (Akta No. 532)

Berdasarkan undang-undang tersebut, agihan bidangkuasa pembahagianpusaka dikendalikan oleh 3  agensi:

AMANAH RAYA BERHAD (pusaka ringkas)
 Mengendalikan harta simati yang hanya meninggalkan harta alih sahaja dan nilainya tidak melebihi RM 600,000. Contohnya: wang simpanan di bank, BSN, ASB, Tabung Haji, kereta,motosikal, saham, dividen dan sebagainya.

PEJABAT TANAH / UNIT PEMBAHAGIAN PUSAKA (pusaka kecil)
Mengendalikan harta simati yang meninggalkan harta tak alih (tanah) sahaja atau harta tanah beserta dengan harta alih seperti duit simpanan di bank dan sebagainya dan nilainya tidak melebihi RM600,000.Contohnya: simati meninggalkan  sebidang tanah sahaja dan duit simpanan diTabung Haji.

MAHKAMAH TINGGI (pusaka besar)
Mengendalikan harta simati yang meninggalkan sama ada harta tak alih (tanah) atau harta alih yang nilainya melebihi RM 600,000 atau harta berwasiat (bagi bukan Islam) walaupun nilainya kurang daripada RM 600,000

Dalam tulisan kali ini saya akan lebih tumpukan pada Harta Pusaka kecil. Apakah Harta Pusaka Kecil
Definisi-Harta pusaka kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh simati yang mempunyai ciri-ciri berikut:
· Simati tidak meninggalkan wasiat (di bawah Akta Wasiat 1959)
· Harta itu terdiri daripada : Harta tak alih (tanah) dan lain-lain harta alih jika ada seperti wang simpanan, KWSP, ASB, saham dan sebagainya
· Jumlah nilai kesemua harta itu tidak melebihi RM 600,000.

Sekiranya harta tersebut bernilai lebih daripada RM 600,000.00 atau tidak mengandungi harta tak alih atau mempunyai wasiat, maka bukanlah ia pusaka kecil dan hendaklah diselesaikan oleh Amanah
Raya Berhad atau Mahkamah Tinggi.

Ciri-ciri Istimewa Pembahagian Harta Pusaka Kecil
Di antara cirri-ciri istimewa dalam pembahagian harta pusaka kecil
ialah:

· Borang permohonan (Borang A) boleh didapati di tiap-tiap Unit Pembahagian Pusaka atau Pejabat Tanah dengan percuma.
· Perbicaraan boleh diadakan di tempat dimana yang berhampiran dengan tanah peninggalan simati.
· Perkhidmatan peguam tidak diperlukan.
· Sekiranya tidak dapat menghadiri perbicaraan pada tarikh yang ditetapkan, waris berkenaan boleh      kemukakan borang  persetujuan iaitu Borang DDA
· Penyerahan / penerimaan hak / bahagian sesama waris boleh dibuat semasa perbicaraan dan tidak    dikenakan apa-apa bayaran.
· Pembahagian dibuat secara terus kepada waris simati (direct transmition) dan surat kusa tadbir hanya diberi dalam keadaan tertentu.
· Kos penyelesaian paling rendah. Permohonan RM 10.00.
Selesai RM 10.00 dan tambahan RM 2.00 bagi tiap satu salinan perintah pembahagian.

 Cara Membuat Permohonan
· Setiap permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil hendaklah dibuat dalam borang khas iaitu Borang A.
· Permohonan mestilah disertakan dengan:
~ Bukti kematian:
~Sijil kematian / permit menguburkan atau
~Surat sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan (bagi kematian
 semasa pendudukan Jepun/ sebelumnya); atau
~Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi bagi kematian tanpa kubur atau orang hilang.
~Salinan photostate kad pengenalan / sijil kelahiran semua waris
~Salinan hak milik atau Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati.
~ Salinan dokumen harta-harta alih, seperti salinan sijil saham, salinan buku simpanan, salinan penyata KWSP dan sebagainya (jika ada).


 Siapakah Yang Layak Memohon
Seksyen 8 (1) Akta Pembahagian Pusaka Kecil memperuntukkan pihak-pihak yang boleh membuat permohonan, iaitu:
i. Salah seorang daripada waris-waris simati yang berhak menerima pusaka seperti suami, isteri, anak lelaki, anak perempuan, ibu, bapa dan sebagainya termasuk Majlis Agama Islam (Baitulmal).
ii. Pemberi hutang (creditor) termasuk pemegang gadaian / pemegang pajakan dan pengkaveat.
iii. Pembeli (pembelian melalui surat perjanjian yang sahdengan simati)
iv. Amanah Raya Berhad
v. Penghulu / Pegawai Petempatan

Setakat ini, permohonan saya  telahpun selamat diserahkan kepada JKPTG. Mungkin pada dasarnya nampak mudah namun sejarah di hari bersejarah 10 Februari 2017 saya melalui beberapa proses yang amat menguji kesabaran. Terpaksa menjelajah 3 Jabatan Kerajaan iaitu Jabatan Galian & Tanah dan kemudian ke Pejabat Tanah Klang kemudian ke SUK bagi mendapatkan carian untuk harta Allahyarham.

Alhamdulillah dijangka akan dipanggil untuk perbicaraan pada bulan 5 nanti

Perbicaraan
Semua waris dan mana-mana orang yang berkepentingan atas harta pusaka itu bertanggungjawab untuk hadir di dalam perbicaran tersebut Sekiranya ada di antara waris yang tidak dapat hadir, pastikan waris yang tidak hadir itu menandatangani surat persetujuan melalui Borang DDA yang menyatakan cara pembahagian yang dikehendaki. Ini bagi mengelakkan kes tersebut tertangguh atau tidak dapat diselesaikan.

 Pembahagian
~Mengikut faraid
~Pembahagian sama rata / sama banyak
~Takharuj dengan balasan
~Takharuj tanpa balasan
~Pembahagian mengikut pakatan / persetujuan


Sebab Mengapa Pembahagian Pusaka Tidak Disegerakan
Berdasarkan pengalaman dan kajian yang telah dijalankan di kalangan waris-waris, di antara faktor-faktor yang menyebabkan pembahagian pusaka tidak disegerakan ialah:

 Salah Tanggapan
Sebahagian dari masyarakat beranggapan bahawa adalah tidak wajar membahagikan harta pusaka terlalu awal, kononnya “tanah kubur masih merah”. Jika terdapat salah seorang waris yang menyarankan agar pembahagian dan penyelesaian harta itu dibuat dengan segera, biasanya
dia akan dipandang serong oleh waris-waris yang lain, dituduh sebagai Tidak beradab, tidak menghormati simati dan sebagainya. Untuk mengelakkan perkara ini, akhirnya semua waris mengambil sikap berdiam diri dan menanti-nanti bilakah perkara itu akan diselesaikan dan siapakah
yang patut memulakannya.

Ini adalah satu tanggapan yang salah dan bertentangan dengan syarak kerana pembahagian pusaka perlu disegerakan supaya dapat ditentukan hak waris-waris.

Terlalu Bersopan
Masyarakat Melayu terkenal dengan sifat bersopan santun yang tinggi nilainya. Mereka amat berhati-hati agar tidak dikatakan orang sesuatu yang tidak baik terhadap mereka. Dalam kes penyelesaian harta pusaka ini umpamanya, masing-masing takut untuk bersuara, bertanyakan tentang
harta pusaka nanti akan dituduh berkehendakkan harta, tamakkan harta. Justeru itu masing-masing membiarkan harta pusaka tersebut sehingga sekian lama tanpa menyelesaikannya. Dengan bersifat demikian, mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka untuk membahagikan pusaka, sekaligus mereka juga telah mengabaikan tuntutan agama supaya menyegerakan pembahagian pusaka. Dengan ini bermakna mereka telah mengabaikan tuntutan agama supaya menyegerakan pembahagian pusaka

Tiada pengetahuan dan maklumat
Kekurangan pengetahuan dan maklumatini boleh ditafsirkan kepada dua maksud.

Pertama, waris-waris tidak mempunyai pengetahuan yang mendala tentang proses pembahagian harta pusaka sama ada dari segi hukum atau undang-undang. Mereka tidak tahu apakah yang harus mereka lakukan, ke mana dan kepada siapa harus dikemukakan perkara tersebut.

Kedua, mereka tidak tahu tentang risiko dan implikasi dari tindakan mereka menangguh-nangguhkan pembahagian harta pusaka. Mereka menganggap tidak ada apa-apa kesan dari segi hukum mahupun undangundang.Akibatnya, pusaka itu dibiarkan begitu sahaja tanpa disegerakan
penyelesaiannya.

Sikap Tidak Endah
Sebahagian daripada masyarakat pula menganggap bahawa tugas menyelesai harta pusaka ini merupakan satu tugas yang remeh temeh. Mereka mengambil sikap endah tak endah (adamant attitude) dan menganggap bahawa menangguhkan penyelesaian harta pusaka ini tidak
mendatangkan sebarang kesan, baik dari segi hukum atau undang-undang. Mereka tidak prihatin terhadap tuntutan agama yang menuntut mereka agar menyegerakan pembahagian pusaka.

Oleh kerana itulah kadangkala harta pusaka itu dibiarkan sehingga begitu lama tidak diselesaikan. Mereka hanya mahu menyelesaikannya apabila sesuatu yang menguntungkan bakal menemui mereka, misalnya apabila harta tersebut hendak dijual, digadai atau diambil balik oleh kerajaan dan
mendapat wang pampasan.

Tidak Puas Hati Dengan Sikap Simati
Antara sebab yang juga menyumbang kepada kelewatan penyelesaian harta pusaka tetapi kurang diberikan perhatian. Ada kes yang berlaku, di mana waris-waris tidak puas hati dengan sikap simati semasa hayatnya yang tidak berlaku Hal-hal seperti ini juga akan menyebabkan sebahagian waris  merasa jauh hati dan tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penyelesaian harta pusaka itu

Implikasi dari Kelewatan Penyelesaian
Kelewatan penyelesaian pembahagian harta puisaka ini sebenarnya mengundang banyak masalah dan implikasinya sama ada dari segi hukum mahu pun undang-undang.

Implikasi dari segi hukum
1. Terdedah kepada perlanggaran hukum
a. Termakan harta secara batil
b. Termakan harta anak yatim

2. Tidak menunaikan hak-hak simati
a. Hutang simati tidak dijelaskan dengan segera
b. Wasiat tidak dilaksanakan dengan segera
3. Bilangan waris makin bertambah ramai akibat kematian berlapis
4. Pembahagian yang salah akibat lupa keterangan sebenar

Implikasi dari segi undang-undang, ekonomi dan sosial
1. Harta terbiar dan tidak terurus
2. Urusniaga hartanah tidak dapat dijalankan
3. Wang pampasan pengambilan balik tanah tidak dapat diagihkan kepada waris-waris
4. Berbangkit isu pemilikan beramai-ramai keatas hartanah
5. Kehilangan dokumen penting seperti surat mati, surat perjanjian dan sebagainya
6. Menyulitkan proses perbicaraan pembahagian pusaka.

Tanggungjawab waris Menyelesaikan Pembahagian Harta Pusaka
Semua waris adalah bertanggungjawab untuk menyelesaikan harta pusaka dengan secepat mungkin. Bukan sekadar membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka di Pejabat Pembahagian Pusaka, tetapi mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyelesaikan pembahagian
dengan sebaik mungkin, iaitu dengan cara:
1. Membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka secepat mungkin
2. Mengadakan perbincangan terutamanya berkaitan cara pembahgianyang akan dipersetujui.
3. Bertolak ansur / prihatin / bertimbang rasa dan hidupkan semangat kekeluargaan.
4. Menghadiri perbicaraan. Jika tidak dapat hadir, boleh tanda tangansurat persetujuan.
5. Mengambil tahu semua harta pusaka dan apa-apa yang berkaitan dengannya, seperti hutang, wasiat dan sebagainya
6. Bekerjasama demi untuk menyelesaikan harta pusaka ini dengan sebaik mungkin.

Sebenarnya penyelesaian harta pusaka adalah tanggungjawab semua waris-waris. Waris harus memilih di antara mereka sebagai ketua yang akan bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan dengan penyelesaian dan pembahagian harta pusaka di peringkat keluarga dan juga pejabat. Ketua yang dipilih sebaik-baiknya diutamakan anak sulung sebagai pengganti orang tua. Tetapi sekiranya anak sulung tidak berupaya kerana uzur, tinggal jauh, tiada kemampuan dan sebagainya, tugas sebagai ketua bolehlah dipindahkan kepada sesiapa sahaja di kalangan waris-waris yang mempunyai kemampuan untuk menguruskannya tanpa mengira status sama ada lelaki atau perempuan, bahkan isteri, ibu atau bapa juga boleh menguruskan penyelesaian pembahagian pusaka ini. Dengan harapan catatan saya ini dapat membantu mereka yang ingin mendalami tentang pembahagian harta keluarga Moga urusan saya di hari perbicaraan berjalan dengan mudah doa kalian amat diharapkan

Rujukkan
Wan Abdul Halim b in W Harun
Ketua Penolong Pengarah
Unit Pembahagian Pusaka

No comments: